Tingkah laku Eurostopodus mystacalis

Vokalisasi

Ia sering didengar lebih daripada yang dilihat. Ia mempunyai lagu tersendiri yang membantu membezakannya daripada spesies yang sebelum ini dianggap sama dengannya. Kebanyakannya dibuat oleh jantan, lagunya terdiri daripada satu tubian nada menggelegak menaik dengan pantas. Lagunya digambarkan sebagai wow-wow-wow-wow-ho-ho ho-ho-o-o-O mengandungi 9-12 nada dan berlangsung selama tiga hingga enam saat.[3][5] Ia mengembungkan kerongkongnya sambil menyanyi.[3] Betina kadang-kadang juga boleh menyanyi. Lagunya kebanyakannya didengar pada waktu subuh atau senja dan reda apabila musim pembiakan berakhir.[5]

Seruannya juga sangat jelas digambarkan sebagai "wuk wuk wuk" meninggi selama kira-kira sepuluh nada yang kemudiannya memecut menjadi 'kekek ketawa'.[6][7]

Burung dewasa berkomunikasi dengan anaknya menggunakan nada serak rendah. Sebagai balasan, anaknya membuat nada khaah yang keras tetapi akan menciap apabila meminta makanan. Jika anaknya atau sarangnya terancam, induk boleh membuat salakan, tok-tokan, dan desisan yang mengganggu. Semasa pemikatan, kedua-dua jantina membuat kuak rendah dan ketap paruh antara satu sama lain.[5]

Pemakanan

Ia ialah pemburu udara yang keluar untuk mencari makanan terutamanya pada waktu malam. Ia menggunakan penghelangan dan menyasarkan pelbagai jenis serangga terbang. Makanannya termasuklah mentadak, cengkerik, belalang, kumbang, dan semut bersayap, walaupun rama-rama besar merupakan sebahagian besar daripada dietnya.[4] Ia mungkin membentuk kumpulan meramu yang terdiri daripada 20 atau lebih individu terutamanya semasa penghijrahan. Apabila berhijrah, ia menandang pada waktu siang supaya dapat memaksimumkan masa memburu pada waktu malam.[8]

Pembiakan

Musim pembiakan berlaku dari September hingga Februari tetapi berbeza sedikit bergantung pada rantau. Bagi burung di selatan Australia, musimnya adalah dari Oktober–Disember. Di Kepulauan Sulaiman adalah dari Oktober–November dan di Kaledonia Baharu adalah dari Ogos–September. Pemikatan melibatkan jantan mengejar betina, paparan daripada jantan, dan pertukaran vokal antara kedua-dua jantina. Jantan selalunya akan mendarat di dahan rendah dan melambai sayapnya ke atas dan ke bawah semasa menyeru.[5]

Ia tidak membuat sarang dan sebaliknya bertelur terus ke atas sampah daun atau tanah kosong. Telurnya berwarna kuning pucat dengan tompok perang keunguan dan saiz sangkaknya ialah satu. Tapak sarang pilihannya adalah di puncak bukit atau rabung berbatu dan ia sering melanggunakan tapak sarang yang sama setiap tahun.[13] Kedua-dua jantina terlibat dalam menginduk dan bergilir-gilir mengeram telur.[5] Pada siang hari, betina akan mengeram telur manakala jantan bersarang berdekatan. Kemudian pada waktu malam, jantan akan mengambil alih pengeraman, membenarkan betina memburu makanan. Jika sarang atau anaknya terancam, induk melakukan pelbagai gangguan termasuklah penerbangan pendek, desisan suara dan salakan, dan pergerakan ekor menjentik semasa di atas tanah. Pengeraman berlangsung selama 29 hingga 33 hari dan anak yang baru menetas agak matang. Anaknya cukup berkebolehan dan mudah bergerak bermula pada hari pertama.[7] Selepas kira-kira 30 hari, anaknya keluar terbang. Tiga minggu selepas telur pertama menetas, betina mungkin bertelur lagi. Jika telur hilang, betina akan bertelur lagi untuk menggantikannya dan boleh bertelur sehingga 5 biji setiap musim pembiakan.[3]

Berkaitan